Pemberian Sumbangan Buku Latihan di SK Pinapak

  • 17 May 2016
  • Admin

Sejak kisah SK Pinapak dipaparkan pada bulan yang lalu, pihak Yayasan Sejahtera telah menerima bantuan daripada pihak luar yang turut prihatin tentang kemajuan pendidikan anak-anak Pitas ini. Sumbangan berupa buku-buku latihan serta alat tulis untuk para pelajar UPSR telah disampaikan kepada pihak sekolah pada 17 Mei 2016 yang lalu. Pihak Yayasan Sejahtera juga telah menyalurkan bantuan menerusi program PETRONAS Planting Tomorrow untuk kelas tambahan intensif menuju UPSR 2016 yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Harapan kami agar semua bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dan guru SK Pinapak.

Dalam perjalanan pihak Yayasan Sejahtera untuk melawat kampung-kampung di bawah projek PETRONAS Planting Tomorrow, murid-murid SK Pinapak pula dalam perjalanan pulang dari sekolah untuk ke rumah, berjalan kaki menyusuri jalan tanah merah yang merupakan jalan utama ke kampung-kampung di sekitar Mukim Dandun ini. Dengan segera kami membantu mereka menaiki kenderaan untuk pulang lebih awal ke rumah, lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan yang turun membasahi daerah Pitas ini setelah sekian lama dilanda musim kemarau.